Pendahuluan
Pendidikan untuk semua menegaskan tentang hak semua kanak-kanak untuk diberi pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial mahupun perkembangan intelek kanak-kanak tersebut. Keperluan untuk memberi pendidikan kepada semua kanak-kanak adalah menjadi satu daripada tanggungjawab sosial yang penting dalam masyarakat. Individu berkeperluan khas yang berada dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti Disleksia, Autisme, Perkembangan Lewat, Hiperaktif dan sebagainya.
Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.
Mereka tidak mempunyai kebolehan bagi mengikuti pelajaran secara formal seperti murid-murid lain. Justeru, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju secara normal di sekolah. Prestasi mereka menunjukkan mereka tidak ada kebolehan bergerak secara normal dalam kerja-kerja sekolah. Mereka tidak dapat membantu kerja-kerja kelas yang sesuai dengan umur mereka. Jika dibandingkan dengan murid lain dalam lingkungan umur yang sama, mereka menunjukkan kelemahan yang nyata dalam pelajaran.
Kurikulum Kebangsaan tidak dapat memenuhi keperluan murid-murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Ini adalah kerana tahap pencapaian pendidikan murid PKBP secara amnya amat rendah dan peningkatan pencapaian adalah perlahan dan minimum. Objektif yang terdapat dalam kurikulumsedia ada pula terlalu tinggi untuk murid PKBPmenguasai kemahiran yang sesuai dengan tahap keupayaan masing-masing.
Oleh itu terdapat keperluan untuk membina kurikulum yang dapat menyediakan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik, berfokus dan bersesuaian dengan keupayaan serta kebolehan murid tersebut. Untuk memenuhi keprluan individu, program pengajaran dan pembelajaran yang dibentuk adalah fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, yang menyatakan “guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas.”
Pendidikan khas di Malaysia bermula pada tahun 1967 di mana Kementerian Pendidikan telah melaksanakan program pemulihan dengan menggunakan strategi “withdrawal system”. Kemudian diteruskan dengan projek percubaan ‘Pendidikan Imbuhan’ bagi tahap satu (Tahun 1 hingga 3) dengan menggunakan strategi di mana guru kelas atau guru subjek sendiri yang menjalankan pemulihan ( PPK,1975). Pendidikan pemulihan diteruskan dengan program Khidmat Guru Pendamping bagi meningkatkan aktiviti pengayaan dan pemulihan dalam aktiviti KBSR pada tahun 1994. Pada tahun 1998. Program Intervensi 3M diperkenalkan. Mulai tahun 2010, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan program terbaru bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam menguasai 3M iaitu LINUS (Literasi dan Numerasi 3M).
Pendidikan pemulihan ialah tindakan-tindakan pendidikan khas yang digunakan untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran, kanak-kanak pemulihan menghadiri kelas khas dalam sekolah biasa, atau pusat pemulihan khas secara sambilan atau menyertai kumpulan yang diundurkan dari kelas biasa untuk diajar oleh seorang guru pemulihan (National Association For Remedial Evaluation ‘NARE’ Great Britain, 1975). Pemulihan dalam KBSR ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira (Panduan Am KBSR,1982). Kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah serta kurang kebolehan menerima pendidikan biasa (Tansley & Gulliford).
Berdasarkan laporan penyelidikan, menunjukkan antara sepuluh hingga lima belas peratus dalam kalangan murid-murid sekolah masih menghadapi masalah kegagalan menguasai 3M khususnya kemahiran asas pembacaan (Kementerian Pendidikan Malaysia,1999). Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui pekelilingnya KP/JPK/BPKP/03/03/1(43) (1998), telah mencadangkan agar semua sekolah rendah dan menengah di seluruh Negara melaksanakan program Intervensi 3M (membaca, menulis, dan mengira) mulai januari 1999. Keadaan ini menunjukkan betapa seriusnya masalah kegagalan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan murid-murid di seluruh Negara (Charlie Anak Unggang,2008)
Masalah pembelajaran dalam matematik
Ramai pendidik percaya yang ramai pelajar yang gagal uttuk menguasai konsep, kemahiran dan strategi penyelesaian masalah dalam matematik (Cawley & Miller,1989; Schid,1990). Mengikut perspektif metakognitif, pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dikenalpasti mempunyai kesukaran dalam a)kebolehan menyelesaikan masalah b)mengenalpasti dan memilih strategi yang sesuai c)menyusun maklumat yang telah dipelajari d)menjalankan proses penyelesaian masalah e) menghuraikan masalah untuk ketepatan dan f) membuat kesimpulan strategi untuk situasi yang sesuai
(Charles-Julkowski,1985 ; Goldman,1989). Metakognitif merujuk kepada pengetahuan pelajar tentang kemahiran, strategi-strategi dan sumber-sumber yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan dan kebolehan untuk digunakan semasa menjalankan tugas ( Baker & Broen,1984). Berdasarkan kajian, kesalahan kecuaian pengiraan dan kelemahan dalam mengingat kembali fakta penambahan dan pendaraban dalam semua tahap kebolehan. Algoritma termasuk langkah-langkah yang spesifik untuk menyelesaikan masalah matematik (Roberts,1968).
Majoriti kesalahan yang dilakukan oleh pelajar kerana mereka gagal untuk memahami konsep pendaraban dan bahagi (Cox,1975). Dalam kajian yang dijalankan ke atas 213 pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran, majoriti kesalahan yang dilakukan adalah disebabkan kesilapan pada kemahiran terdahulu (prerequisite skills). Kesilapan dalam pendaraban pula disebabkan kurang pengetahuan fakta darab dan kemahiran menambah. Kesilapan yang biasa dilakukan dalam bahagi termasuk kesilapan dalam menolak dan mendarab.(Miller & Milan, 1987)
Program di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia telah merangka pelbagai program untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran. Program 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) telah diperkenalkan semenjak tahun 1960-an bagi memantapkan usaha membantu kira-kira 100,000 murid sekolah rendah dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Pada tahun 1983, apabila Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan, satu usaha telah diwujudkan untuk membantu murid yang tidak dapat menguasai 3M melalui Program Pemulihan Khas. Bagi memastikan sasaran semua murid sekolah rendah yang tidak mempunyai masalah kesihatan menguasai kemahiran 3M akhir Tahap Satu iaitu selepas tamat persekolahan Tahun Tiga itu tercapai, satu garis panduan berkenaan antara lain menekankan kepentingan penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Khas peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah bagi memantau perkembangan pelaksanaannya.
Pengenalan garis panduan itu juga diharap dapat memastikan pelaksanaan program lebih sistematik, sekali gus mengurangkan jumlah murid normal yang masih belum menguasai kemahiran 3M. Selain itu, ia turut membolehkan murid berkeperluan khas iaitu yang mempunyai masalah kesihatan seperti disleksia dan masalah pembelajaran lainnya dikenal pasti sejak awal lagi.
Bermula tahun 2010, Program LINUS telah dilaksanakn bagi menggantikan Program KIA2M (Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis). Program LINUS adalah singkatan dari Literacy & Numeracy Screening di mana Minister Key Performance Indicators (MPKI) KPM telah menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012. Literasi adalah merujuk kepada kebolehan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan majmuk yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian.
Numerasi pula adalah kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan seharian. Program ini akan dilaksanakan bermula pada tahun 2010 (Kohot 1) melibatkan murid-murid di tahun 1 yang akan melalui Saringan 1 (Mac), Saringan 2 (Jun) dan Saringan 3 (September).
Pada dasarnya, kurikulum pendidikan untuk murid berkeperluan khas masih lagi mengalami pelbagai kekurangan iaitu daripada guru terlatih dalam bidang pendidikan khas, kewangan, kemudahan, pakar dan termasuk kurikulum yang sesuai. Di samping itu, belum lagi wujud program intervensi awal yang teratur dan komprehensif bagi membantu kanak-kanak istimewa ini dan juga ibu bapa mereka sebelum mereka masuk ke sekolah.
Justeru, usaha mewujudkan pedidikan khas yang berkualiti disertai dengan pelbagai cabaran-cabaran, antaranya:
1) Penyediaan guru terlatih khusus dalam bidang pendidikan khas murid bermasalah pembelajaran yang mencukupi di semua sekolah.
2) Rancangan pendidikan dan kurikulum yang sesuai dan relevan dengan kanak-kanak berkeperluan khas dan bermasalah pembelajaran mengikut keperluan semasa.
3) Penyediaan kewangan dan peralatan-peralatan yang sesuai dan mencukupi.
4) Penyediaan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu yang mencukupi seperti ahli psikologi kanak-kanak, audiologi dan pakar terapi pertuturan.
5) Pelaksanaan intervensi awal yang rapi.
Program intervensi
Dalam mengatasi masalah pembelajaran matematik di kalangan murid yang mempunyai masalah pembelajaran, program intervensi hendaklah dijalankan. Program intervensi adalah satu program yang direka khusus bagi membantu mengatasi masalah pembelajaran terhadap murid-murid yang lemah. Bagi menjalankan sesuatu program intervensi, guru matematik hendaklah mengenalpasti murid yang terlibat terlebih dahulu. Murid-murid yang telah dikenalpasti mempunyai masalah pembelajaran, seterusnya akan menduduki pra ujian. Murid akan dinilai melalui pra ujian tersebut kemahiran operasi matematik yang mana mereka lemah.
Murid yang telah dikenal pasti lemah ini akan diberi kelas intervensi dalam satu tempoh tertentu dan kemudiannya akan diberi pascaujian bagi melihat tahap penguasan mereka. Murid yang telah melepasi tahap yang ditetapkan akan ditamatkan kelas intervensi dan akan mengkiut kelas arus perdana. Manakala murid yang masih gagal akan terus mengikuti kelas intervensi tersebut. Ini adalah bertujuan agar murid ini sekurang-kurangnya dapat menguasai operasi asas semasa di sekolah rendah kerana penguasaan operasi asas ini adalah penting bkn sahaja untuk peperiksaan tetapi lebih kepada kehidupan harian.
Sebagai contoh, sebuah sekolah telah mengadaptasikan program daripada Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu PROTIM sebagai satu program intervensi di sekolah tersebut. Namun begitu, pengubahsuaian telah dilakukan agar ia berpadanan dengan situasi sekolah. Mengikut program kementerian, PROTIM dijalankan ujian pra dan pasca dan murid yang gagal pada ujian pra akan di beri kelas intervensi selama hanya satu bulan dan kemudian diberi ujian pacsa. Seterusnya laporan dihantar kepada Jabatan Pelajaran Negeri. Seandainya murid masih gagal pada ujian pasca, tiada tindakan susulan yang dibuat oleh kementerian.
Pihak sekolah berpendapat bahawa tidak terdapat keberkesanan pada program PROTIM ini yang mana dirasakan bahawa ia dilaksanakan hanyalah sekadar untuk rekod dan pengutipan data kementerian sahaja. Rentetan itu, pihak sekolah merasakan perlu diadakan program intervensi berterusan bagi menampakkan hasilnya. Maka PROTIM ini diubai suai menjadi program intervensi matematik tahunan sekolah. Murid dikategorikan kepada 2 kumpulan iaitu tahap 1 dan tahap 2. Dua kelas dibuka setiap hari isnin hingga khamis sebaik sahaja sesi persekolahan tamat iaitu pada jam 1.05 – 1.35. Kelas yang pertama terdiri daripada murid tahap 1 (tahun 2, 3) dan tahap 2 (murid tahun 4, 5, 6).
Jadual Kelas intervensi adalah seperti berikut :
Isnin : Operasi penambahan
Selasa : Operasi penolakan
Rabu : Operasi Pendaraban
Khamis : Operasi Bahagi
Kelas ini dijalankan sepanjang tahun bermula bulan Februari hingga Oktober. Dari segi murid, tidak semestinya murid tersebut perlu menghadiri keempat-empat kelas. Ia bergantung kepada tahap kemahiran operasi yang mana mereka lemah. Sebagai contoh, sekiranya murid tersebut terlalu lemah sehinggakan operasi asas penambahan pun tidak boleh dikuasai, murid itu hanya akan menghadiri kelas operasi tambah sahaja sehingga mahir, barulah berpindah ke kelas yang lain. Manakala sekiranya murid tersebut telah menguasai operasi tambah dan tolak, murid tersebut hanya perlu menghadiri kelas darab dan bahagi sahaja. Murid harus menguasai operasi mengikut turutan.
Setelah 2 tahun menjalankan program intervensi ini, hasil yang ketara telah dilihat. Peratus pencapaian murid bagi subjek matematik telah meningkat sebanyak 38.3%. Dengan peningkatan peratus pencapaian ini bermakna peratus murid gagal semakin berkurangan.
Dalam program intervensi ini, terdapat pelbagai teknik pengajaran yang boleh dilakukan namun ianya hendaklah selaras dengan keupayaan murid tersebut selain guru juga haruslah berusaha sedaya upaya untuk mengajar agar murid dapat belajar dan menguasai isi pelajaran dalam sesuatu objektif yang ditentukan.
Selain itu, setiap aktiviti yang dilaksanakan hendaklah menekankan beberapa elemen seperti penglibatan murid, tahap kesediaan murid, penggunaan muzik untuk merangsang dan penyusunan isi pelajaran. Ini adalah kerana penglibatan yang aktif di kalangan murid akan membuatkan kemahiran yang ingin diajarkan akan lebih mudah diingati. Oleh itu, kami mencadangkan beberapa strategi pengajaran dan pembelajaran seperti strategi pemusatan murid dan stategi pemusatan bahan.
Melalui strategi pemusatan murid, murid akan memainkan peranan yang penting dan aktif dalam proses pembelajaran manakala guru hanya akan bertindak sebagai pemudahcara bagi membimbing murid dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut. Strategi ini boleh dilaksanakan secara individu,berkumpulan,perbincangan, main peranan dan bermain permainan. Interaksi di antara guru dengan murid akan lebih bersifat terbuka dan murid berpeluang untuk menonjolkan sisi kreatif dan berinisiatif yang ada dalam diri mereka. Sebagai contoh, aktiviti TOLAK BANDINGAN yang menggunakan sarang telur, aktiviti PEMBILANG INTERAKTIF,dan MENGIRA JUMLAH yang menggunakan gambar dot yang telah ditunjukkan semasa sesi pembentangan.
Bahan pengajaran yang digunakan juga hendaklah bersesuaian dan kreatif. Ini kerana, dengan adanya bahan-bahan tersebut guru mampu menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah,menarik dan berkesan, manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna dan menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri atau berkumpulan. Selain daripada itu, penglibatan aktiviti yang bersifat permainan dan penggunaan muzik yang dipercayai dapat merangsang minda murid supaya lebih mudah menerima pengajaran dan pembelajaran yang diajarkan. Menurut Gardner (1991), potensi manusia mempunyai tujuh kecerdasan dalam dirinya, iaitu : kecerdasan-kecerdasan linguistic, logical-matematikal, ruang, muzik, tubuh kinestatik, interpersonal (social) dan intrapersonal (kendiri). Oleh itu, teori pelbagai kecerdasan ini hendaklah diaplikasikan dalam melaksanakan dan membangunkan sesuatu program intervensi . Contohnya, untuk konsep penolakkan iaitu aktiviti 1:TOLAK DIA!, dimana lagu 10 budak hitam dimainkan untuk memperkenalkan konsep tolak. Murid akan diperdengarkan lagu tersebut dan diberi tugasan untuk melakonkan watak 10 budak hitam. Kemudiannya mereka akan menyanyikan lagu tersebut berserta lakonan seperti yang diarahkan. Murid akan lebih mudah untuk menghadirkan minda mereka dalam pengajaran dan pembelajaran apabila elemen muzik turut disertakan.
Selain daripada itu, aktiviti intervensi yang ingin dilaksanakan perlulah mengambilkira pengalaman sedia ada murid. Ini adalah penting untuk mengetahui tahap kesediaan murid untuk terhadap pengajaran dan pembelajaran tersebut. Sekiranya guru mengabaikan tahap kesediaan murid adalah dikhuatiri murid tidak dapat bersama-sama menerokai keseronokan pengajaran dan pembelajaran tersebut. Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara, di mana ada yang betul dan ada yang salah.
Jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan atau tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin memberi jawapan seperti yang tidak dikehendaki oleh guru. Perancangan aktiviti intervensi ini juga perlu dibuat dengan menekankan penyusunan bahan-bahan pembelajaran bermula dari sesuatu yang bersifat konkrit ke abstrak. Urutan pengajaran dan pembelajaran disusun dari mudah ke lebih kompleks supaya murid dapat mempelajarinya dan seterusnya memberikan respon seperti yang dikehendaki.
John Dewey menguatkan lagi teori ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan.Contohnya untuk intervensi ini, murid tahap 1 biasanya sukar untuk memahami proses penyelesaian masalah. Oleh itu, murid perlulah mahir dalam tambah dan tolak sebelum menyelesaikan masalah. Proses memahami penyelesaaian masalah juga adalah unik kerana perkara ini biasanya perlu dikaitkan dengan situasi dan pengalaman harian murid. Ianya juga merupakan kemuncak dalam program intervensi ini kerana ianya menguji kepintaran berfikir dan kemahiran lain kemahiran fakta asas, menaakul masalah,operasi,menyusun data dan mengaplikasi konsep matematik itu sendiri. Contohnya aktiviti penyelesaian masalah seperti aktiviti 5 : Ceritaku Ceritamu (tambah), dan aktiviti 3 : Penulis Matematik, untuk kedua-dua aktiviti ini bahan dan urutan pembelajaran adalah menarik serta mengikut urutan supaya murid mudah faham dan dan berminat untuk mengikuti proses pembelajaran yang seterusnya.
Penutup
Secara keseluruhannya, program intervensi ini merupakan satu program yang penting yang perlu ada di setiap sekolah bagi membantu murid-murid yang lemah menguasai kemahiran matematik. Ini kerana kemahiran matematik ini bukan sahaja penting untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi ia sangat penting dalam kehidupan seharian. Matematik digunakan setiap hari dalam kehidupan harian dalam apa sahaja aspek. Jika tidak menguasai, murid ini seterusnya tidak akan berjaya dalam apa jua bidang di masa hadapan.
Walaupun pada masa kini, sistem pendidikan kita masih belum rapi dalam menjalankan program intervensi ini, setiap sekolah dan guru haruslah mengambil anisiatif sendiri demi membela dan mendidik mereka semaksimum mungkin. Kerana jika hanya bergantung kepada sistem pendidikan yang sering berubah-ubah ini, maka sudah pasti anak-anak ini akan terus keciciran dan ketinggalan jauh di belakang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.